Tag Archives: JKJR

Had Laju Jalan Pan Borneo Dikurangkan Kepada 80 Km/j

Standard

KUCHING: Pengguna Jalan Pan Borneo diingatkan bahawa had kelajuan telah dikurangkan kepada 80 kilometer sejam (km/j) daripada 90 km/j sepanjang musim perayaan ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Rano Alwino Akat (gambar) berkata had kelajuan tersebut dikuatkuasakan untuk semua jenis kenderaan bermula setiap tujuh hari sebelum hari perayaan dan berakhir tujuh hari selepas hari perayaan.

Menurutnya, perkara tersebut adalah antara usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama di laluan tersebut berikutan meningkatnya bilangan pengguna sepanjang musim perayaan ini.

“Untuk makluman, had kelajuan di sepanjang Jalan Pan Borneo dikurangkan daripada 90 km/j kepada 80 km/j sepanjang musim perayaan ini ekoran meningkatnya jumlah pengguna pada musim perayaan ini.

“Justeru mana-mana pengguna jalan raya yang didapati melanggar had laju tersebut boleh diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Sarawak perbanyak sekolah teknikalKempen Keselamatan Jalan Raya di Terminal Pengangkutan Awam Kuching Sentral malam kelmarin.

Menurut Rano,bagi penumpang kenderaan pengangkutan awam, mereka berhak menasihati pemandu untuk mematuhi had laju dan jumlah maksimum penumpang.

“Jika mereka (pemandu) masih ingkar, penumpang boleh mengemukakan aduan kepada JPJ atau Lembaga Pelesenan Kenderaan Pengangkutan” katanya.

Selain itu, Rano turut memohon jasa baik semua syarikat kenderaan berat agar mengurangkan operasi harian sepanjang musim perayaan ini.

“Jika boleh, kita memohon agar kenderaan berat dapat dikurangkan operasinya sepanjang musim perayaan ini demi memudahkan pergerakan kenderaan pengangkutan lain,”katanya.

Sementara itu, Rano dalam sidang media tersebut turut menasihati pengguna jalan raya agar mematuhi jumlah maksimum di dalam sesuatu kenderaan.

“Sebagai contoh ialah kereta
Perodua Kancil… Kancil hanya boleh memuatkan sehingga empat penumpang sahaja dan jika ia melebihi jumlah tersebut, potensi terlibat dalam kemalangan adalah tinggi,”katanya.

* Artikel diambil dari laman berita Borneo Post : http://www.theborneopost.com/2012/08/19/had-laju-jalan-pan-borneo-dikurangkan-kepada-80-kmj/#ixzz245VV2FY9